
Y. BHG PROF. MADYA DATUK DR. BAHARUDIN BIN HAJI PUTEH
Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang bukan sahaja menjadi pelengkap IPT di Malaysia, malah kewujudan KUIM terbukti mampu melahirkan modal insan terbilang untuk mencapai dan melaksanakan dasar pembangunan serta kemajuan negara Malaysia.
Di samping itu, kejayaan KUIM membina jaringan akademik di persada antarabangsa menjadikan KUIM yang juga IPT milik penuh kerajaan negeri Melaka membuka ruang dan peluang kepada graduan KUIM untuk membina kerjaya di beberapa firma swasta yang ternama di luar negara.
Pelbagai program jaringan antarabangsa dilaksanakan dengan beberapa buah negara seperti Universiti Sriwijaya Palembang, Indonesia, College Of Management And Technology Sri Lanka, International Peace University South Africa, Pembrokeshire College, DMDI Kemboja, Universiti Brunei Darussalam, University Of Ballarat Australia, The Islamic University, Baghdad, Universiti Al-Azhar, Mesir, Universiti Al-Bayt, Jordan dan banyak lagi termasuklah Singapura.
Program jaringan antarabangsa seumpama ini amat bermanfaat kepada kedua-dua institusi dalam perkembangan ilmu, percambahan idea dan perluasan bidang pengajian merentasi lautan.
Setiap tahun, KUIM akan melahirkan kumpulan graduan daripada pelbagai bidang pengajian seperti Pengajian Islam, Sastera Dan Sains Sosial, Pengurusan dan Hospitaliti, Kejururawatan, Sains dan Teknologi dan Perniagaan dan Perakaunan.
Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pengurusan tertinggi KUIM bagi memastikan kebolehpasaran graduan KUIM setanding dengan graduan IPTA di Malaysia. Antaranya, komited bagi memastikan setiap program pengajian yang ditawarkan mendapat kelulusan dan pengiktirafan agensi kelayakan Malaysia (MQA).
Hampir 90% program pengajian yang ditawarkan telah mendapat pengiktirafan MQA. Manakala 10% adalah program pengajian yang sedang dibangunkan.
Kepimpinan tertinggi KUIM sering mencari perlaksanaan yang efektif bagi memastikan mahasiswa dan mahasiswi mendapat pendedahan yang lengkap dari segi teori dan praktikal. Jesteru itu, pengurusan KUIM aktif membina rangkaian industri bersama firma-firma swasta terkemuka, syarikat dan organisasi ternama bagi membuka peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi menjalani latihan industri di tempat mereka. Terkini, KUIM dan TM yang juga sebuah syarikat komunikasi ternama di Malaysia mencapai persefahaman untuk menempatkan mahasiswa dan mahasiswi menjalani latihan industri di organisasi tersebut. Di samping itu, TM turut bakal membuka peluang kerjaya kepada graduan KUIM yang berkelayakan.
Usaha-usaha ini adalah untuk memperlihatkan kepada komitmen KUIM sebagai destini kejayaan anak bangsa dan sebuah IPT yang berdaya saing serta mampu menandingi keupayaan IPT lain di Malaysia.