HAL EHWAL MAHASISWA
Bahagian HEM adalah salah satu unit penting dalam sebuah institusi Pengajian Tinggi yang bertanggungjawab dalam menguruskan persatuan, aktiviti pelajar, kebajikan, pinjaman pendidikan, tatatertib dan sebahagian dari perkhidmatan.
Bahagian Hal Ehwal Mahasiswa mempunyai beberapa unit di bawahnya iaitu :
PERPUSTAKAAN
Perpustakaan KUIM telah ditubuhkan pada 1 Julai 1994 selaras dengan penubuhan KUIM. Kini perpustakaan mempunyai koleksi buku sebanyak 14,383 buah yang terdiri daripada bahan bercetak dan bukan bercetak mencakupi subjek pengurusan perniagaan, pengajian Islam, kejururawatan dan pengurusan hospitaliti. Bahagian ini sentiasa menjadi perantaraan untuk mendapatkan pelbagai maklumat yang diperlukan oleh siswa siswi serta memupuk kesedaran terhadap nilai sumber-sumber maklumat yang diperlukan oleh siswa siswi. Bahagian ini dipertanggungjawabkan untuk menyediakan bahan-bahan yang berkaitan dengan pengajian dan penyelidikan yang dijalankan oleh kolej. Selain itu, bahagian ini juga berperanan dalam menyediakan kemudahan bahan-bahan bacaan yang digunakan oleh semua warga KUIM.
KEWANGAN
Bahagian ini dipertanggungjawabkan atas segala urusan kewangan jabatan, menyelenggara sistem perakaunan untuk mengawal dan mentadbir kewangan kolej secara teratur, professional, berkesan, dan memberikan khidmat pengurusan kewangan untuk semua bahagian di kolej. Selain itu bahagian kewangan ini juga bertindak sebagai unit perantara untuk menyalurkan pinjaman atau biasiswa atau dermasiswa kepada para pelajar kolej yang layak.
UNIT TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI
Unit Teknologi Maklumat dan Komunikasi bertanggungjawab untuk merancang dan menyediakan perkhidmatan ICT yang menyeluruh dan terancang bagi menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P), penyelidikan, pentadbiran dan pengurusan. Antara perkhidmatan utama Unit ICT ialah menguruskan perkhidmatan rangkaian, pembangunan sistem maklumat bersepadu, penyediaan peralatan komputer dan notebook, khidmat penyelenggaraan dan baik pulih serta menganjurkan latihan ICT.
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
Unit ini berperanan untuk mengurus segala hal ehwal berkaitan media dan publisiti Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) selain berperanan untuk melibatkan pihak luar melalui aktiviti dan majlis yang bertujuan menaikkan imej KUIM. Unit ini turut berperanan membina jaringan hubungan erat bersama organisasi lain, masyarakat, individu dan sebagainya di samping mengendalikan hubungan dan isu/ komen yang berkaitan KUIM.