
Y.BHG. PROF. EMERITUS DATUK WIRA DR. MOHD YUSOFF BIN HAJI HASHIM
D.C.S.M., D.I.M.P., D.P.M.S., D.M.S.M., S.S.A., A.M.S., B.C.M.
NAIB CANSELOR KOLEJ UNIVERSITI ISLAM MELAKA
Assalamualaikum W.B.T
Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnianya Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) bergerak setanding dengan IPTS yang lain dan menawarkan pelbagai Diploma dan Ijazah Sarjana Muda untuk pendidikan anak bangsa.
Saya amat berbangga kerana KUIM telah mempunyai prasarana fizikal yang lengkap bagi memenuhi keperluan pendidikan dan pembelajaran siswa-siswinya. Bangunan yang tersergam indah dengan mempunyai kompleks akademik meliputi blok-blok fakulti, makmal komputer, perpustakaan dan auditorium yang pastinya memberi keselesaan kepada penggunanya.
Dari segi pengiktirafan dan kelulusan, KUIM telah berjaya mendapatkan kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) terhadap semua program dan kursus pengajian yang ditawarkan di universiti ini. Selain menekankan faktor akademik pengajaran dan pembelajaran, KUIM juga tidak mengabaikan kemudahan dan kebajikan pelajar apabila berusaha menyediakan pemberian pinjaman daripada Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka, yayasan-yayasan negeri dan hospital-hospital swasta.
Saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri Melaka kerana membantu KUIM dari segi pembangunan prasarana dan akademiknya. Kerajaan negeri begitu optimis dan realistik untuk menjadikan negeri Melaka sebagai hub pendidikan yang terbaik di Malaysia dengan menjadikan aspek pendidikan sebagai salah satu tarikan untuk menuntut ilmu pengetahuan yang merangkumi pelbagai dimensi kehidupan.
Saya sangat berharap KUIM akan terus maju seiring dengan wawasan Melaka Maju 2010 dan menjadi sebuah IPTS Melaka yang tersohor bukan sahaja dalam negara malah diperingkat antarabangsa yang terus memartabatkan nilai-nilai pendidikan Islam yang syumul.