
YANG AMAT BERHORMAT DATUK SERI (DR.) HAJI MOHD ALI BIN MOHD RUSTAM
D.G.S.M, S.P.D.K, D.C.S.M, D.S.M, P.B.M, PhD (Hons) UTEM.
KETUA MENTERI MELAKA
MERANGKAP CANSELOR & PENGERUSI LEMBAGA PENGARAH KUIM
Assalamualaikum W.B.T
Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan keizinannya Portal Kolej Universiti Islam Melaka ini telah dibangunkan dengan jayanya. Syabas dan tahniah kepada Kolej Universiti Islam Melaka kerana berjaya melancarkan portal ini secara online.
KUIM adalah satu institusi penting yang melengkapkan dan menampung keperluan pendidikan tinggi negara. Pendidikan berteraskan Islam dan psikologi adalah satu agenda pengisian yang selari dengan kehendak peningkatan kualiti bangsa Malaysia. Bagi menentukan matlamat ini dicapai, usaha-usaha pemantapan integriti menerusi penghayatan nilai-nilai Islam, memperkayakan pengetahuan dan perkongsian informasi perlu menjadi satu pedagogi dan metodologi dalam pelaksanaan pengajaran di KUIM.
Usaha Kerajaan Negeri untuk mensasarkan status negeri maju pada 2010 dalam konteks pendidikan dilihat sudah mencapai kemajuannya menerusi pengembelengan usaha semua pihak. Justeru, demi menempa kejayaan KUIM perlu melakukan anjakan positif dan transformasi pendidikan tinggi untuk meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama. Maka dengan itu, Kerajaan Negeri Melaka akan memastikan KUIM akan dinaiktaraf dari Kolej Universiti Islam Melaka kepada Universiti Islam Melaka pada tahun 2012 nanti.
Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Naib Canselor KUIM dan seluruh warga KUIM yang telah bersungguh-sungguh merealisasikan dan menjayakan pembangunan portal ini.
Semoga usaha kita sentiasa diberkati Allah S.W.T.